27 Mei 2008

Kaedah pembiakan tanaman

PEMBIAKAN TUMBUHAN

Pembiakan adalah satu proses di mana tiap-tiap organisma menambah dari segi bilangan individu beranak dan berkembang dalam peredaran masa. Tumbuhan membiak dan berkembang dengan dua cara :
•seksual; contoh biji benih, spora
•Tampang (vegetatif); contoh keratan, belahan, cantuman, organ-organ khas dan lain-lain.

Biji benih

Kebanyakan tumbuhan dibiak dengan biji benih. Contohnya pokok-pokok bunga semusim, pokok saka dan juga daripada jenis renek walaupun pokok-pokok ini boleh dibiak secara tampang.

Kebaikan Pembiakan Secara Biji Benih
•Boleh menghasilkan baka-baka baru
•Dapat menyediakan pokok-pokok sebagai pokok penanti untuk cantuman
•Murah dan menghasilkan lebih banyak pokok
•Anak pokok mungkin lebih cergas (hybrid vigour) berbanding dengan induknya.

Keburukan Pembiakan Secara Biji Benih
•Biji benih mungkin mempunyai masa rehat (dormancy)
•Mengambil masa yang panjang untuk matang
•Kemungkinan menghasilkan tumbuhan yang berbeza daripada induknya
•Setengah tumbuhan hanya dapat dibiakkan pada masa-masa tertentu kerana pengeluaran buah dan biji benihnya bermusim


Pemilihan Biji benih

Biji benih dengan ciri-ciri berikut perlu dipilih:

•Matang
•Tulen (tidak bercampur dengan biji benih dari baka lain)
•Berisi, segar dan bersih dari kekotoran
•Bernas (mempunyai keupayaan untuk bercambah)
•Bebas dari penyakit dan perosak

Biji benih yang hendak digunakan mestilah diambil dari buah-buah yang matang atau masak. Biji itu dibersihkan. Biji-biji yang telah dipilih itu kemudian dikeringkan di tempat yang terbuka dan ternaung. Biji benih perlu cukup kering supaya tahan lama. Dalam keadaan biasa seperti di Malaysia biji benih tidak dapat disimpan lama dan akan kehilangan daya percambahan dengan cepat. Jika hendak disimpan lama, biji benih hendaklah disimpan di tempat bersuhu dan peratus lembapan yang rendah. Jika benih dibeli, periksa tarikh luputnya. Peratus percambahan benih menurun apabila disimpan lama.

Percambahan biji benih
Percambahan biji benih bergantung pada faktor-faktor seperti peratus lembapan, suhu, cahaya dan oksiogen. Percambahan biji benih yang tidak serentak disebabkan oleh faktor-faktor fizikal, fisiologikal dan persekitaran. Fenomena ini berlaku oleh kerana kulit biji benih (testa) tidak telap air atau biji benih mengeluarkan bahan beracun dan lain-lain faktor dalaman. Kadangkala biji benih memerlukan rawatan tertentu untuk mempercepatkan percambahan.

Rawatan percambahan biji benih

Terdapat beberapa cara rawatan untuk percambahan biji benih:

•Pelelasan (scarification)
Satu proses dimana kulit biji benih dirawat supaya biji benih telap air. Cara-caranya biasa dilakukan ialah membuang atau mengikis testa, merendam biji benih dalam asid atau air panas.

•Stratifikasi

Stratifikasi adalah proses melembutkan testa ddengan meletakkan biji benih dalam timbunan pasir, tanah atau habuk papan yang basah pada suhu yang turun naik.

•Vernalisasi

Vernalisasi adalah satu proses menyebabkan biji-biji benih mengeluarkan hormon untuk percambahan dengan meletakkan biji benih pada suhu yang rendah.

•Pemeraman (fermentation)

Pemeraman adalah satu proses merendam biji benih ke dalam air atau menyimpannya dalam beg plastik yang diikat untuk menanggalkan selaput biji benih.

Menyemai Biji benih

a. Rawatan sebelum menyemai

Biji benih yang hendak disemai sebaik-baiknya dirawat terlebih dahulu bagi mengelakkan dari serangan penyakit terutama penyakit dari jenis kulat.
Bahan-bahan kimia yang digunakan ialah seperti Thiram, Benlate atau kuprum sulfat (kadar bancuhan 1 gm/liter air)

b. Medium Percambahan

Medium percambahan yang digunakan harus mempunyai ciri-ciri berikut:
•mampu menyokong anak-anak benih,
•menyimpan air secukupnya
•mempunyai cukup rongga untuk pengudaraan dan penembusan akar
•bebas dari biji benih rumpai
Contohnya; vermiculite, perlite, tanah gambut, tanah loam, habuk papan atau cocopeat reput, pasir atau campuran bahan-bahan di atas J.I.S.).

c. Cara menyemai

Biji benih disemai mengikut saiznya. Terdapat perbezaan teknik menyemai untuk biji benih halus dan kasar.

Biji benih halus

Sediakan campuran tanah J.I.S dan dimasukkan kedalam bekas semaian. Siram bekas ini sehingga lembab. Biji benih halus digaul dengan pasir halus dengan nisbah 1 bahagian benih : beberapa bahagian pasir halus dan kering untuk memudah dan meratakan taburan biji benih atas permukaan tanah. Selepas ditabur, tutup biji benih dengan satu lapisan tanah peroi dan disiram. Bekas menyemai boleh ditutup dengan gelas atau plastik lutsinar hingga benih bercambah.


Biji benih kasar

1. Sediakan medium percambahan, dan bekas semaian yang sesuai.
2. Pilih biji benih yang bernas dengan merendamkannya di dalam air. Biji benih yang timbul
dibuang. Semai secepat mungkin dengan menggunakan teknik yang betul.
3. Setelah biji benih mengeluarkan 2-3 helai daun sebenar (true leaves) bolehlah diubah ke
dalam beg politena.

Pembiakan Tampang
Pembiakan tampang ialah pembiakan yang menggunakan bahagian-bahagian vegetatif tumbuhan seperti akar, batang, daun untuk memperbanyakkan tumbuhan yang sama dengan induknya. Tumbuh-tumbuhan yang dihasilkan secara demikian dipanggil klon. Bahagian-bahagian vegetatif ini adalah paling istimewa oleh sebab tiap-tiap sel ini mewakili pokok keseluruhannya. Oleh itu, pokok yang dibiak 100 tahun dahulu adalah sama dengan yang dibiak sekarang.

Kebaikan Pembiakan Tampang
* Boleh mendapat pokok yang seragam
* Ciri-ciri anak pokok menyerupai induknya
* Cepat berbunga atau berbuah
* Boleh dibiakkan sepanjang tahun
* Dapat dibiak dengan banyak dalam satu masa
* Dapat digunakan untuk membiakkan tumbuhan yang tidak mengeluarkan biji benih bernas

Keburukan Pembiakan Tampang
* Tidak semua jenis tumbuhan dapat dibiak dengan cara ini
* Pemindahan penyakit lebih mudah terutama penyakit virus
* Setengah kaedah memerlukan kemahiran teknikal yang agak rumit

Jenis-jenis Pembiakan Tampang

A) Secara Semula Jadi

a.Rayapan (stolon) – batang yang keluar dari aksil daun dan biasanya tumbuh menjalar secara
mendatar di atas permukaan tanah. Contoh: Episcia dan chlorophythum.
b. Sulur - Anak atau rumpun pokok yang dipisahkan dari pokok induk. Contoh: Pisang kipas
(Ravenala), Keladi
c.Umbisi - Contoh: Gladiolus, abaca
d.Bebawang (leaf scale) Contoh : Lily, Amaryllis
e.Rizom – batang yang menjalar di bawah permukaan tanah. Contoh : halia, bunga tasbih, iris,
rumput, kunyit
f.Tuber Contoh: kentang, keladi
g.Akar Tuber - Akar yang membesar dalam tanah. Mata tunas terdapat pada jemala akar.
Contoh: dahlia, keledek, gloriosa

Pembahagian boleh dilakukan kepada beberapa jenis bahagian tumbuhan tersebut di atas dengan memotongnya kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil. Contoh kentang, bebawang.



B. Secara Buatan

KERATAN

a. Keratan dahan atau batang
Keratan dahan terdiri daripada keratan kayu keras, kayu sederhana dan keratan kayu hijau atau lembut.

Cara mengambil keratan batang:

Pilih dahan atau ranting yang subur dan tidak berpenyakit. Panjangnya keratan anantara 15 - 20cm. Potong pangkal keratan itu serong di bawah satu mata tunas. Tinggalkan 2 atau 3 helai daun. Tentukan sekurang- kurangnya ada 1 tunas untuk akar dan 1 tunas untuk pucuk. Tanam keratan itu sedalam kira-kira 5 - 7cm (1/3 daripada keratan). Tekan di sekeliling pangkal keratan. Siram. Untuk keratan yang susah berakar, rawat pangkal keratan dengan hormon penggalak akar seperti IBA, ABA, NAA. Jenis-jenis hormon ini ada dijual dalam bentuk debu.

b. Keratan daun

Jenis ini terdiri daripada keratan bahagian daun, keratan urat daun, keratan tangkai daun dan keratan helaian daun.

Keratan helai daun dibuat dengan mengambil sehelai daun yang bertangkai atau tidak bertangkai di mana ianya ditanam dalam medium pengakaran seperti pasir. Akar dan daun baru akan keluar dari sebelah bawah daun. Pokok Begonia boleh dibiak dengan meletak sehelai daun yang telah dikerat urat daunnya di atas pasir. Pokok sanseiveria boleh dibiak dengan cara keratan bahagian daun. Untuk membuat keratan tangkai daun tentukan lai daun mempunyai batang sepanjang 2.5 – 4cm panjang.

c. Keratan Akar

Keratan akar dibuat dengan memotong bahagian-bahagian akar yang sihat dan tidak berpenyakit kira-kira 7 - 15cm panjang dan kemudian ditanam dengan membaringkan akar di dalam pasir yang bercampur serbuk papan atau tanah gambut. Pastikan paras atas akar adalah sama paras dengan pasir.
Ada setengah pokok tidak mengeluarkan biji dan susah pula dibiak dengan cara lain, (misalnya pokok sukun, dahlia, Plumbago). Oleh itu akarnya boleh digunakan sebagai bahan pembiakan.

Penjagaan Keratan

Penjagaan rapi adalah mustahak semasa pengakaran. Sebaiknya keratan jangan diubah-ubah kerana akar-akar baru sangat lembut dan senang patah. Kebersihan kawasan perlu dijaga untuk mengelakan dari jangkitan penyakit.
Peratus kelembapan dikurangkan secara berperingkat setelah pengakaran mula berlaku dan keamatan cahaya dipertingkatkan. Keratan-keratan tadi sedia diubah apabila mengeluarkan akar sekunder. Elakkan akar tercedera semasa mengubah dengan menyiramnya terlebih dahulu sebelum dicungkil. Kemudian tanam di dalam bekas yang mengandungi campuran tanah yang bersesuaian. Siram secukupnya dan beri teduhan selama 7-14 hari.

Cantuman

Cantum satu pembiakan tampang biasanya digunakan untuk membiak pokok buah-buahan. Namun ianya sesuai juga untuk pokok-pokok hiasan.
Pembiakan cara cantuman terbahagi kepada 3 jenis :

a) Cantuman tunas atau Cantuman dekatan

i) Sandingan

b) Cantuman mata tunas

i) Cantuman 'T'
ii) Cantuman tampal
iii) Cantuman takuk

c) Cantuman Belahan

i) Belahan tepi
ii) Belahan rencung
iii) Belahan baji

Pokok Penanti (Stock Plant)

Pokok penanti ialah pokok yang ditanam dari biji benih untuk tujuan mendapatkan sistem akar yang baik. Cantuman boleh dilakukan apabila pokok penanti mencapai saiz batang yang sesuai (berukuran lebih kurang 1 cm garispusat) untuk menerima mata tunas.

Mata tunas

Terdapat dua jenis mata tunas iaitu mata tunas rehat dan mata tunas ketiak. Pokok-pokok yang mempunyai mata tunas rehat ialah seperti rambutan, bunga kertas, ciku, cempedak dan lain-lain. Pokok-pokok yang mempunyai mata tunas ketiak ialah seperti durian dan ros.

Cara mencantum mata tunas

Contoh: Cantuman tampal

a) Sediakan pokok penanti
b) Potong dua garisan daripada atas ke bawah, panjang kira-kira 4cm pada batang pokok
penanti, dengan menggunakan pisau cantuman yang tajam dan bersih.

c) Potongan dibuat kira-kira 15cm daripada tanah. Jarak antara garisan kira-kira 1cm.
d) Buat satu garisan melintang di sebelah bawah dan kopek sedikit kulit bagi menentukan sama
ada kulit itu boleh dikopek.
e) Pilih satu mata tunas yang baik, potong dua garisan sebesar dengan yang dibuat pada pokok
penanti tadi. Kemudian potong kepingan tunas daripada kayu mata tunas dan tanggalkan
kulitnya beserta mata tunas.
f) Kopekkan kulit daripada pokok penanti tadi dan tampalkan mata tunas. Buangkan kulit pokok
penanti dan tinggalkan lebih kurang 1cm.
g) Antara 20 - 30 hari mengikut jenis-jenis pokok, buka balutan pita plastik itu.
h) 1 minggu selepas pita plastik dipotong, bahagian atas pokok penanti dipotong kira-kira 5cm - 8cm daripada bahagian yang dicantum.
Dalam masa 2 - 3 minggu selepas pokok penanti dipotong, mata tunas akan mulai membesar. Tunas-tunas yang tumbuh daripada bahagian-bahagian lain sepanjang pokok penanti hendaklah dibuang.

Untuk memastikan kejayaan cantuman perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian:
a) Pisau cantuman mestilah tajam dan bersih
b) Pokok penanti dan mata tunas yang hendak dicantum mestilah dari keluarga yang sama.
c) Saiz mata tunas dan saiz kelaran di pokok penanti mestilah sama.
d) Proses mencantum mesti dibuat dengan cepat untuk mengelakkan kambium atau mata tunas
menjadi kering
e) Pokok penanti dan mata tunas mestilah sihat dan subur.
f) Tentukan ikatan jangan terlalu kuat atau terlalu longgar
g) Kerja mencantum eloklah dibuat di waktu pagi atau petang sebelum siraman dilakukan.

LENTURAN (layering)

Lenturan adalah satu proses pembiakan tampang menggunakan bahagian pokok yang masih menjadi sebahagian daripada pokok induk yang masih hidup.

Terdapat empat jenis lenturan:
a) Lenturan Pucuk (tip layerage)
b) Lenturan Busut
c) Lenturan Peparitan (berbaringan)
d) Lenturan udara (tut)

a) Lenturan udara (tut)
Lenturan yang biasa di buat. Pembiakan cara ini sesuai digunakan untuk pokok-pokok yang susah dibiak dengan cara tampang yang lain. Biasanya dilakukan pada pokok-pokok jenis kayu keras seperti pokok kenanga, cempaka, limau dan ciku.

Cara-cara mengetut

Sediakan tanah campuran yang sesuai yang mempunyai sifat-sifat senang dikepal, melekat dan yang boleh menyimpan air dengan secukupnya selama masa dahan dalam proses pengakaran.

Tanah campuran biasa digunakan ialah:
a) 2 bahagian isipadu tanah peroi 1 bahagian isipadu baja organik

b) 4 bahagian isipadu habuk papan 3 bahbahagian isipadu tanah peroi 2 bahagian isipadu baja
organik

Cara memilih dahan yang sesuai
a) Dahan dipilih daripada pokok sihat, segar dan tidak berpenyakit atau diserang serangga.
b) Dahan mestilah dari kayu keras atau sederhana keras, sekurang-kurangnya lcm garis pusat.
c) Dahan yang dipilih sebaiknya seimbang percabangan, berbentuk lurus dan mendapat cukup
cahaya matahari.

Cara mengetut

a) Sediakan kepalan campuran tanah sebesar telur ayam dan direnjis air sehingga lembab.
b) Pilih dahan yang sesuai serta buangkan daun-daun dan ranting-ranting di bawah kelaran
yang akan dibuat.
c) Buatkan kelaran keliling, pertama di bawah mata tunas dan kelaran kedua dibuat
sekurang-kurangnya 3cm di bawah dari kelaran pertama.
d) Kupas kulit di antara dua kelaran dan kikiskan (kambium) hingga ke kayu.
e) Sapukan hormon penggalak akar di kelaran atas
f) Ikatkan plastik di bahagian kelaran bawah.
g) Dekatkan tanah yang telah dikepal di bahagian dahan yang telah dikikis tadi, tentukan tanah
itu padat dan melekat dengan baik.
h) Bungkuskan kepalan tanah dengan kertas plastik dan diikat pada kedua-dua hujungnya.
i) Selepas 2 - 3 bulan, tut ini akan mengeluarkan akar dan boleh dipotong bahagian bawah dan
diubah ke dalam beg plastik.

8 ulasan:

  1. macam mana cara nak biakkan orkid. boleh cereta tak

    BalasPadam
  2. Sdr Yuzamri,

    Saya mempunyai pokok pisang kipas di laman rumah saya. Kini terdapat banyak sulur yang tumbuh di sekeliling induk. Masaalahnya bagaimana cara untuk mengambil sulur-sulur tersebut untuk disemai. Sering kali saya mencubanya, tetapi sudutnya terlalu rapat dengan induk, yang demikian agak sukar untuk memisahkannya bersekali dengan akar-akar untuk disemai semula.

    BalasPadam
  3. terima kasih..nota ini amat berguna.

    BalasPadam
  4. DOI MANAAAAAAAAAAAAAAAAAAA BOLEH BELIIIIIIIIIIIIII PENGGALAK AKARRRRRRR??????????????????????

    BalasPadam
  5. salam..
    mintak di copy ye artikel ini
    syukran

    BalasPadam
  6. tanyalah kat siapa2 yang tahu kan senang tak payah nak susah2 sampai kena tulis kat sini

    BalasPadam
  7. mengetut itu apa mengentut ke.

    BalasPadam