27 Mei 2008

Kaedah pembiakan tanaman

PEMBIAKAN TUMBUHAN

Pembiakan adalah satu proses di mana tiap-tiap organisma menambah dari segi bilangan individu beranak dan berkembang dalam peredaran masa. Tumbuhan membiak dan berkembang dengan dua cara :
•seksual; contoh biji benih, spora
•Tampang (vegetatif); contoh keratan, belahan, cantuman, organ-organ khas dan lain-lain.

Biji benih

Kebanyakan tumbuhan dibiak dengan biji benih. Contohnya pokok-pokok bunga semusim, pokok saka dan juga daripada jenis renek walaupun pokok-pokok ini boleh dibiak secara tampang.

Kebaikan Pembiakan Secara Biji Benih
•Boleh menghasilkan baka-baka baru
•Dapat menyediakan pokok-pokok sebagai pokok penanti untuk cantuman
•Murah dan menghasilkan lebih banyak pokok
•Anak pokok mungkin lebih cergas (hybrid vigour) berbanding dengan induknya.

Keburukan Pembiakan Secara Biji Benih
•Biji benih mungkin mempunyai masa rehat (dormancy)
•Mengambil masa yang panjang untuk matang
•Kemungkinan menghasilkan tumbuhan yang berbeza daripada induknya
•Setengah tumbuhan hanya dapat dibiakkan pada masa-masa tertentu kerana pengeluaran buah dan biji benihnya bermusim


Pemilihan Biji benih

Biji benih dengan ciri-ciri berikut perlu dipilih:

•Matang
•Tulen (tidak bercampur dengan biji benih dari baka lain)
•Berisi, segar dan bersih dari kekotoran
•Bernas (mempunyai keupayaan untuk bercambah)
•Bebas dari penyakit dan perosak

Biji benih yang hendak digunakan mestilah diambil dari buah-buah yang matang atau masak. Biji itu dibersihkan. Biji-biji yang telah dipilih itu kemudian dikeringkan di tempat yang terbuka dan ternaung. Biji benih perlu cukup kering supaya tahan lama. Dalam keadaan biasa seperti di Malaysia biji benih tidak dapat disimpan lama dan akan kehilangan daya percambahan dengan cepat. Jika hendak disimpan lama, biji benih hendaklah disimpan di tempat bersuhu dan peratus lembapan yang rendah. Jika benih dibeli, periksa tarikh luputnya. Peratus percambahan benih menurun apabila disimpan lama.

Percambahan biji benih
Percambahan biji benih bergantung pada faktor-faktor seperti peratus lembapan, suhu, cahaya dan oksiogen. Percambahan biji benih yang tidak serentak disebabkan oleh faktor-faktor fizikal, fisiologikal dan persekitaran. Fenomena ini berlaku oleh kerana kulit biji benih (testa) tidak telap air atau biji benih mengeluarkan bahan beracun dan lain-lain faktor dalaman. Kadangkala biji benih memerlukan rawatan tertentu untuk mempercepatkan percambahan.

Rawatan percambahan biji benih

Terdapat beberapa cara rawatan untuk percambahan biji benih:

•Pelelasan (scarification)
Satu proses dimana kulit biji benih dirawat supaya biji benih telap air. Cara-caranya biasa dilakukan ialah membuang atau mengikis testa, merendam biji benih dalam asid atau air panas.

•Stratifikasi

Stratifikasi adalah proses melembutkan testa ddengan meletakkan biji benih dalam timbunan pasir, tanah atau habuk papan yang basah pada suhu yang turun naik.

•Vernalisasi

Vernalisasi adalah satu proses menyebabkan biji-biji benih mengeluarkan hormon untuk percambahan dengan meletakkan biji benih pada suhu yang rendah.

•Pemeraman (fermentation)

Pemeraman adalah satu proses merendam biji benih ke dalam air atau menyimpannya dalam beg plastik yang diikat untuk menanggalkan selaput biji benih.

Menyemai Biji benih

a. Rawatan sebelum menyemai

Biji benih yang hendak disemai sebaik-baiknya dirawat terlebih dahulu bagi mengelakkan dari serangan penyakit terutama penyakit dari jenis kulat.
Bahan-bahan kimia yang digunakan ialah seperti Thiram, Benlate atau kuprum sulfat (kadar bancuhan 1 gm/liter air)

b. Medium Percambahan

Medium percambahan yang digunakan harus mempunyai ciri-ciri berikut:
•mampu menyokong anak-anak benih,
•menyimpan air secukupnya
•mempunyai cukup rongga untuk pengudaraan dan penembusan akar
•bebas dari biji benih rumpai
Contohnya; vermiculite, perlite, tanah gambut, tanah loam, habuk papan atau cocopeat reput, pasir atau campuran bahan-bahan di atas J.I.S.).

c. Cara menyemai

Biji benih disemai mengikut saiznya. Terdapat perbezaan teknik menyemai untuk biji benih halus dan kasar.

Biji benih halus

Sediakan campuran tanah J.I.S dan dimasukkan kedalam bekas semaian. Siram bekas ini sehingga lembab. Biji benih halus digaul dengan pasir halus dengan nisbah 1 bahagian benih : beberapa bahagian pasir halus dan kering untuk memudah dan meratakan taburan biji benih atas permukaan tanah. Selepas ditabur, tutup biji benih dengan satu lapisan tanah peroi dan disiram. Bekas menyemai boleh ditutup dengan gelas atau plastik lutsinar hingga benih bercambah.


Biji benih kasar

1. Sediakan medium percambahan, dan bekas semaian yang sesuai.
2. Pilih biji benih yang bernas dengan merendamkannya di dalam air. Biji benih yang timbul
dibuang. Semai secepat mungkin dengan menggunakan teknik yang betul.
3. Setelah biji benih mengeluarkan 2-3 helai daun sebenar (true leaves) bolehlah diubah ke
dalam beg politena.

Pembiakan Tampang
Pembiakan tampang ialah pembiakan yang menggunakan bahagian-bahagian vegetatif tumbuhan seperti akar, batang, daun untuk memperbanyakkan tumbuhan yang sama dengan induknya. Tumbuh-tumbuhan yang dihasilkan secara demikian dipanggil klon. Bahagian-bahagian vegetatif ini adalah paling istimewa oleh sebab tiap-tiap sel ini mewakili pokok keseluruhannya. Oleh itu, pokok yang dibiak 100 tahun dahulu adalah sama dengan yang dibiak sekarang.

Kebaikan Pembiakan Tampang
* Boleh mendapat pokok yang seragam
* Ciri-ciri anak pokok menyerupai induknya
* Cepat berbunga atau berbuah
* Boleh dibiakkan sepanjang tahun
* Dapat dibiak dengan banyak dalam satu masa
* Dapat digunakan untuk membiakkan tumbuhan yang tidak mengeluarkan biji benih bernas

Keburukan Pembiakan Tampang
* Tidak semua jenis tumbuhan dapat dibiak dengan cara ini
* Pemindahan penyakit lebih mudah terutama penyakit virus
* Setengah kaedah memerlukan kemahiran teknikal yang agak rumit

Jenis-jenis Pembiakan Tampang

A) Secara Semula Jadi

a.Rayapan (stolon) – batang yang keluar dari aksil daun dan biasanya tumbuh menjalar secara
mendatar di atas permukaan tanah. Contoh: Episcia dan chlorophythum.
b. Sulur - Anak atau rumpun pokok yang dipisahkan dari pokok induk. Contoh: Pisang kipas
(Ravenala), Keladi
c.Umbisi - Contoh: Gladiolus, abaca
d.Bebawang (leaf scale) Contoh : Lily, Amaryllis
e.Rizom – batang yang menjalar di bawah permukaan tanah. Contoh : halia, bunga tasbih, iris,
rumput, kunyit
f.Tuber Contoh: kentang, keladi
g.Akar Tuber - Akar yang membesar dalam tanah. Mata tunas terdapat pada jemala akar.
Contoh: dahlia, keledek, gloriosa

Pembahagian boleh dilakukan kepada beberapa jenis bahagian tumbuhan tersebut di atas dengan memotongnya kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil. Contoh kentang, bebawang.



B. Secara Buatan

KERATAN

a. Keratan dahan atau batang
Keratan dahan terdiri daripada keratan kayu keras, kayu sederhana dan keratan kayu hijau atau lembut.

Cara mengambil keratan batang:

Pilih dahan atau ranting yang subur dan tidak berpenyakit. Panjangnya keratan anantara 15 - 20cm. Potong pangkal keratan itu serong di bawah satu mata tunas. Tinggalkan 2 atau 3 helai daun. Tentukan sekurang- kurangnya ada 1 tunas untuk akar dan 1 tunas untuk pucuk. Tanam keratan itu sedalam kira-kira 5 - 7cm (1/3 daripada keratan). Tekan di sekeliling pangkal keratan. Siram. Untuk keratan yang susah berakar, rawat pangkal keratan dengan hormon penggalak akar seperti IBA, ABA, NAA. Jenis-jenis hormon ini ada dijual dalam bentuk debu.

b. Keratan daun

Jenis ini terdiri daripada keratan bahagian daun, keratan urat daun, keratan tangkai daun dan keratan helaian daun.

Keratan helai daun dibuat dengan mengambil sehelai daun yang bertangkai atau tidak bertangkai di mana ianya ditanam dalam medium pengakaran seperti pasir. Akar dan daun baru akan keluar dari sebelah bawah daun. Pokok Begonia boleh dibiak dengan meletak sehelai daun yang telah dikerat urat daunnya di atas pasir. Pokok sanseiveria boleh dibiak dengan cara keratan bahagian daun. Untuk membuat keratan tangkai daun tentukan lai daun mempunyai batang sepanjang 2.5 – 4cm panjang.

c. Keratan Akar

Keratan akar dibuat dengan memotong bahagian-bahagian akar yang sihat dan tidak berpenyakit kira-kira 7 - 15cm panjang dan kemudian ditanam dengan membaringkan akar di dalam pasir yang bercampur serbuk papan atau tanah gambut. Pastikan paras atas akar adalah sama paras dengan pasir.
Ada setengah pokok tidak mengeluarkan biji dan susah pula dibiak dengan cara lain, (misalnya pokok sukun, dahlia, Plumbago). Oleh itu akarnya boleh digunakan sebagai bahan pembiakan.

Penjagaan Keratan

Penjagaan rapi adalah mustahak semasa pengakaran. Sebaiknya keratan jangan diubah-ubah kerana akar-akar baru sangat lembut dan senang patah. Kebersihan kawasan perlu dijaga untuk mengelakan dari jangkitan penyakit.
Peratus kelembapan dikurangkan secara berperingkat setelah pengakaran mula berlaku dan keamatan cahaya dipertingkatkan. Keratan-keratan tadi sedia diubah apabila mengeluarkan akar sekunder. Elakkan akar tercedera semasa mengubah dengan menyiramnya terlebih dahulu sebelum dicungkil. Kemudian tanam di dalam bekas yang mengandungi campuran tanah yang bersesuaian. Siram secukupnya dan beri teduhan selama 7-14 hari.

Cantuman

Cantum satu pembiakan tampang biasanya digunakan untuk membiak pokok buah-buahan. Namun ianya sesuai juga untuk pokok-pokok hiasan.
Pembiakan cara cantuman terbahagi kepada 3 jenis :

a) Cantuman tunas atau Cantuman dekatan

i) Sandingan

b) Cantuman mata tunas

i) Cantuman 'T'
ii) Cantuman tampal
iii) Cantuman takuk

c) Cantuman Belahan

i) Belahan tepi
ii) Belahan rencung
iii) Belahan baji

Pokok Penanti (Stock Plant)

Pokok penanti ialah pokok yang ditanam dari biji benih untuk tujuan mendapatkan sistem akar yang baik. Cantuman boleh dilakukan apabila pokok penanti mencapai saiz batang yang sesuai (berukuran lebih kurang 1 cm garispusat) untuk menerima mata tunas.

Mata tunas

Terdapat dua jenis mata tunas iaitu mata tunas rehat dan mata tunas ketiak. Pokok-pokok yang mempunyai mata tunas rehat ialah seperti rambutan, bunga kertas, ciku, cempedak dan lain-lain. Pokok-pokok yang mempunyai mata tunas ketiak ialah seperti durian dan ros.

Cara mencantum mata tunas

Contoh: Cantuman tampal

a) Sediakan pokok penanti
b) Potong dua garisan daripada atas ke bawah, panjang kira-kira 4cm pada batang pokok
penanti, dengan menggunakan pisau cantuman yang tajam dan bersih.

c) Potongan dibuat kira-kira 15cm daripada tanah. Jarak antara garisan kira-kira 1cm.
d) Buat satu garisan melintang di sebelah bawah dan kopek sedikit kulit bagi menentukan sama
ada kulit itu boleh dikopek.
e) Pilih satu mata tunas yang baik, potong dua garisan sebesar dengan yang dibuat pada pokok
penanti tadi. Kemudian potong kepingan tunas daripada kayu mata tunas dan tanggalkan
kulitnya beserta mata tunas.
f) Kopekkan kulit daripada pokok penanti tadi dan tampalkan mata tunas. Buangkan kulit pokok
penanti dan tinggalkan lebih kurang 1cm.
g) Antara 20 - 30 hari mengikut jenis-jenis pokok, buka balutan pita plastik itu.
h) 1 minggu selepas pita plastik dipotong, bahagian atas pokok penanti dipotong kira-kira 5cm - 8cm daripada bahagian yang dicantum.
Dalam masa 2 - 3 minggu selepas pokok penanti dipotong, mata tunas akan mulai membesar. Tunas-tunas yang tumbuh daripada bahagian-bahagian lain sepanjang pokok penanti hendaklah dibuang.

Untuk memastikan kejayaan cantuman perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian:
a) Pisau cantuman mestilah tajam dan bersih
b) Pokok penanti dan mata tunas yang hendak dicantum mestilah dari keluarga yang sama.
c) Saiz mata tunas dan saiz kelaran di pokok penanti mestilah sama.
d) Proses mencantum mesti dibuat dengan cepat untuk mengelakkan kambium atau mata tunas
menjadi kering
e) Pokok penanti dan mata tunas mestilah sihat dan subur.
f) Tentukan ikatan jangan terlalu kuat atau terlalu longgar
g) Kerja mencantum eloklah dibuat di waktu pagi atau petang sebelum siraman dilakukan.

LENTURAN (layering)

Lenturan adalah satu proses pembiakan tampang menggunakan bahagian pokok yang masih menjadi sebahagian daripada pokok induk yang masih hidup.

Terdapat empat jenis lenturan:
a) Lenturan Pucuk (tip layerage)
b) Lenturan Busut
c) Lenturan Peparitan (berbaringan)
d) Lenturan udara (tut)

a) Lenturan udara (tut)
Lenturan yang biasa di buat. Pembiakan cara ini sesuai digunakan untuk pokok-pokok yang susah dibiak dengan cara tampang yang lain. Biasanya dilakukan pada pokok-pokok jenis kayu keras seperti pokok kenanga, cempaka, limau dan ciku.

Cara-cara mengetut

Sediakan tanah campuran yang sesuai yang mempunyai sifat-sifat senang dikepal, melekat dan yang boleh menyimpan air dengan secukupnya selama masa dahan dalam proses pengakaran.

Tanah campuran biasa digunakan ialah:
a) 2 bahagian isipadu tanah peroi 1 bahagian isipadu baja organik

b) 4 bahagian isipadu habuk papan 3 bahbahagian isipadu tanah peroi 2 bahagian isipadu baja
organik

Cara memilih dahan yang sesuai
a) Dahan dipilih daripada pokok sihat, segar dan tidak berpenyakit atau diserang serangga.
b) Dahan mestilah dari kayu keras atau sederhana keras, sekurang-kurangnya lcm garis pusat.
c) Dahan yang dipilih sebaiknya seimbang percabangan, berbentuk lurus dan mendapat cukup
cahaya matahari.

Cara mengetut

a) Sediakan kepalan campuran tanah sebesar telur ayam dan direnjis air sehingga lembab.
b) Pilih dahan yang sesuai serta buangkan daun-daun dan ranting-ranting di bawah kelaran
yang akan dibuat.
c) Buatkan kelaran keliling, pertama di bawah mata tunas dan kelaran kedua dibuat
sekurang-kurangnya 3cm di bawah dari kelaran pertama.
d) Kupas kulit di antara dua kelaran dan kikiskan (kambium) hingga ke kayu.
e) Sapukan hormon penggalak akar di kelaran atas
f) Ikatkan plastik di bahagian kelaran bawah.
g) Dekatkan tanah yang telah dikepal di bahagian dahan yang telah dikikis tadi, tentukan tanah
itu padat dan melekat dengan baik.
h) Bungkuskan kepalan tanah dengan kertas plastik dan diikat pada kedua-dua hujungnya.
i) Selepas 2 - 3 bulan, tut ini akan mengeluarkan akar dan boleh dipotong bahagian bawah dan
diubah ke dalam beg plastik.

23 Mei 2008

Panduan penanaman sayur

PENANAMAN SAYUR-SAYURAN

Pengenalan

Sayur-sayuran sering ditanam di kawasan rumah atau secara komersial. Sayuran yang ditanam sendiri lebih selamat dimakan berbanding dengan sayuran yang ditanam secara komersial kerana bebas daripada racun. Sayuran sangat penting kepada manusia kerana ianya membekalkan vitamin, garam mineral, protein, karbohidrat dan lemak.

Jenis Sayur-sayuran

Sayur-sayuran boleh dibahagikan kepada empat jenis utama mengikut bahagian-bahagian makanan.

Jadual Jenis Sayur-Sayuran

Bil

Jenis sayuran

Contoh

1

daun

bayam, sawi bunga, sawi putih, kobis dan kangkung

2

kekacang

kacang botor/kelisa, kacang buncis, kacang tanah dan kacang panjang

3

buah

bendi, cili, kundur, terung, petola, timun, tomato

3

akar / umbisi

halia, lobak putih, lobak merah, ubi keledek, ubi sengkuang, keladi

Pemilihan Tapak

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pemilihan tapak pertanian antaranya termasuklah;

berhampiran dengan bandaraya atau pekan bagi memudahkan proses pemasaran.

berhampiran dengan sumber air bagi memudahkan penyiraman dan mencuci sebelum pasaran dilakukan.

di kawasan yang luas dan lapang supaya cahaya matahari terkena terus kepada tanaman bagi tujuan fotosentisis dan akar pokok tidak bersaing untuk mendapatkan air dan nutrien.

mempunyai kemudahan infrastruktur.

mempunyai tanah yang rata supaya mudah pengurusan. Teres digunakan jika tanah bercerun.

Jauh dari kawasan yang berpotensi untuk pembiakan agen perosak dan penyakit.

berdekatan dengan rumah bagi memudahkan pengurusan dan mengelakan kecurian

Penyediaan tapak

Tanah di Malaysia sering mengalami suhu tinggi dan hujan lebat. Oleh iitu pemuliharaan tanah perlu untuk kesuburan tanah. Kesuburan tanah adalah satu konsep umum dan ditakrifkan sebagai keupayaan sesuatu tanah untuk menampung pengeluaran hasil tanaman yang memuaskan. Tanah akan terjejas jika mempunyai sifat seperti berikut:

Kandungan nutrien yang rendah – kawasan tropika sering mengalami kadar proses luluhawa dan larut resap menyebabkan kandudngan nutrien tanah tidak mencukupi.

Keadaan tanah berasid – tanah asid sulfat dan tanah gambut ialah dua jenis tanah yang bermasalah di Malaysia kerana pH yang lebih rendah. Tanah asid sulfat kurang subur dan tanaman yang ditanam di tanah ini biasanya mengalami ketoksidan aluminium, ferum dan mangan. Tanah gambut bermasalah kerana kekurangan beberapa mikronutrien seperti kuprum, mangan, zink, ferum, molibdenum dan boron.

Tanah berlempung – mengandungi tanah liat yang tinggi. Tanah ini menjadi lekit apabila basah dan berketul bila kering. Kadar saliran dan kadar peresapan air sangat rendah.

Iv Tanah berpasir – tanah berpasir seperti tanah bekas lombong dan tanah Bris mengalami
saliran lampau sehingga kandungan air tidak mencukupi untuk keperluan tanaman.Tanah
ini tidak mempunyai struktur yang boleh memegang tumbuhan dan kurang daya penahan air
dan pH tanah jenis ini adalah antara 4.3 hingga 5.8.

Secara umumnya tanah untuk sayuran hendaklah mengandungi tanah peroi, mempunyai
saliran yang baik, menyimpan nutrient, kelembapan yang sederhana dan tidak terlalu berasid.

Penyediaan batas

Kawasan pertanian yang dipilih perlu disediakan untuk tujuan penanaman sayur-sayuran seperti :

Membuang rumpai dan batu batan

Membakar rumpai bagi mengelakkan serangga perosak dan penyakit membiak. Abunya boleh digunakan sebagai baja. Rumput yang kering pula boleh digunakan sebagai sungkupan.

Gali dan terbalikkan tanah sedalam 25-30 cm bagi tujuan menggembur tanah, membunuh haiwan perosak dan akar-akar rumpai.

Gemburkan tanah kepada gemburan yang lebih halus bagi memperbaiki saliran dan pengudaraan tanah.

Bina batas samada batas rata dengan ketinggian 15 – 25 cm atau batas tunggal berketinggian 20 – 25 cm.

Sungkupan

Sungkupan bermakna penutupan batas dengan bahan-bahan yang sesuai seperti rumput yang dipotong, daun, pelepah dan kompos. Lapisan sungkupan mestilah jangan terlalu tebal sebab ia akan mengelakkan anak benih dari bercambah dan menggalakkan haiwan perosak dan penyakit.

Sebab-sebab sungkupan diperlukan adalah untuk;

  • mengurangkan suhu tanah: – suhu tanah yang tinggi menyebabkan sejatan yang keterlaluan dan juga membunuh hidupan tanah yang berguna.
  • menjaga tanah supaya sentiasa lembab: - air yang dipelihara akan didapati oleh anak benih dan hidupan tanah.
  • mengelakkan tanah daripada terlalu keras dan padat:- tumbesaran akar adalah sukar dan hidupan tanah mendapati sukar untuk hidup di dalam tanah yang keras dan padat.
  • mengelakkan tumbesaran rumpai
  • mengelakkan hujan lebat dari menghakis tanah atau menghanyutkan biji benih atau anak benih.
  • bertindak sebagai baja organan apabila ia reput.









Pemilihan biji benih

Pemilihan biji benih perlu dilakukan dengan sempurna dan teliti bagi menjamin kadar percambahan dan pertumbuhan anak benih yang sihat seterusnya membawa pulangan yang tinggi.

Ciri-ciri biji benih yang baik

  • Besar dan berisi penuh supaya anak benih sihat.
  • Cukup matang dan bernas supaya kadar percambahan tinggi.
  • Bebas dari haiwan perosak dan penyakit agar peratus percambahan menjadi tinggi.
  • Tidak rosak atau cacat.

Kaedah penyimpanan biji benih sayur-sayuran

  • Keringkan biji benih supaya tidak bercambah dan tidak diserang penyakit.
  • Simpan di dalam bekas kedap udara bagi mengelakkan serangan haiwan perosak.
  • Labelkan biji benih supaya mudah dikenali.
  • Simpan ditempat yang kering dan sejuk bagi mengelakkan kerosakan.
  • Gaulkan racun serangga dan racun kulat bagi mengelakkan

Penyemaian biji benih


Cara menyemai biji benih adalah bergantung kepada saiznya. Terdapat tiga cara penyemaian:


Semaian terus biji benih besar

  • Semaian terus secara tetap pada jarak yang tertentu.
  • Sebelum menyemai biji benih peraturan berikut perlu di patuhi :
  • Rendamkan biji benih seharian untuk mempercepatkan percambahan
  • Tanam sebiji atau dua biji selubang
  • Selepas bercambah, lakukan penjarangan.

Semaian terus biji benih kecil

Menyemai sayuran berbiji benih kecil seperti jenis daun, cili tomato, terus dan lain-lain boleh menggunakan dua cara:

Semaian terus ke batas tetap.

  • Kaedah alur - buat alur yang cetek dengan jarak tertentu
  • Tabur sedikit ke alur dan timbuskan sedikit dengan tanah.
  • Beri perlindungan (sungkupan) dan air.
  • Selepas percambahan, jarangkan anak benih dan tinggalkan pokok pada jarak tertentu.

semaian biji benih halus di dalam kotak semaian


Kebaikan menyemai di dalam kotak semaian semaian

  • penjagaan anak benih lebih mudah
  • anak benih yang sihat boleh dipilih untuk diubah ke batas tetap. Ini memastikan hasil yang bertambah.
  • anak benih yang sama saiz boleh dipilih dan akan memberi tumbesaran yang sama.
  • Pokok yang rosak dibatas tetap mudah diganti dari batas semaian.

Menyemai cara semai tabur

Teknik menyemai secara semai tabur adalah seperti berikut,

  • tabur biji benih atas batas dan timbus dengan lapisan tanah yang nipis.
  • beri perlindungan (sungkupan) dan air.
  • selepas percambahan, jarangkan anak benih dan tinggalkan pokok pada jarak tertentu.

Penjarangan

Satu proses pembuangan anak benih / pokok yang tumbuh terlalu rapat di antara satu sama lain. Sebab-sebab penjarangan adalah untuk mengurangkan anak benih/ pokok bersaing untuk mendapatkan cahaya, air dan nutrien. Disamping itu untuk menentukan tumbesaran yang sekata dan hasil yang tinggi.

Penjarangan dilakukan dengan mencabut pokok atau memotong batang dengan pisau yang tajam.

Menyulam

Satu proses mengubah anak benih di bahagian yang terlalu jarang di antara anak pokok. Sekiranya anak pokok terlalu jarang di batas atau tapak penanaman, akan berlaku pembaziran tempat dan akan merendahkan pengeluaran hasil serta kos akan meningkat.

Adakalanya terdapat juga anak benih yang tidak bercambah, mati, diserang perosak, terbantut tumbesaran atau tidak sihat, anak benih ini perlu dibuang dan diganti. Proses ini dinamakan Penyulaman Anak Benih.

Penanaman
Panaman adalah penting bagi mengurangkan persaingan dan juga untuk memudahkan kerja penjagaan. Berikut adalah beberapa sistem yang biasa diigunakan dalam penanaman sayuran.

Mengubah

Proses menanam semula anak benih/pokok ke tempat yang lain. Biasanya anak benih dari batas semaian diubah ke batas tetap.

Teknik mengubah anak benih adalah seperti berikut ;

  • Segarkan anak benih sebelum diubah
  • Lakukan waktu pagi atau petang
  • Siram batas semaian untuk lembutkan tanah dan untuk mengelakkan dari tanah pecah semasa mengubah.
  • Dengan menggunakan sudip, cungkil tiap-tiap anak benih dengan ketul tanah di sekeliling akar.
  • Mesti dilakukan dengan cermat untuk mengurangkan kerosakan akar.
  • Tanam anak benih di batas tetap pada jarak yang disyorkan
  • Tekan tanah disekeliling anak benih padat-padat supaya akar dapat pegangan yang kuat.
  • Bekalkan perlindungan dan air.
  • Buangkan perlindungan sedikit demi sedikit selepas beberapa hari

Naungan

Naungan perlu diberikan kepada anak benih muda atau baru diubah untuk mengurangkan pancaran cahaya matahari yang terik ke atas anak benih. Cahaya matahari yang terik mungkin menyebabkan anak benih layu dan mati. Naungan dapat mengelakkan timpaan hujan yang terus ke atas anak benih muda yang akan merosak atau menghanyutkan anak benih.

Bahan-bahan biasa yang digunakan untuk naungan ialah pelepah kelapa, lalang/rumput yang dipotong, kertas plastik dan jaring. Naungan janganlah terlalu tinggi kerana cahaya matahari yang terik dan air hujan boleh masuk menerusi tepi naungan. Naungan haruslah sedikit demi sedikit dibuang ketika anak benih membesar. Ini akan membolehkannya menerima cahaya matahari untuk membina makanan.

Penjagaan tanaman sayuran

Penjagaan tanaman sayuran meliputi aktiviti berikut:

Menyiram
Penyiraman perlu dilakukan dua kali sehari iaitu disebelah pagi dan petang. Penyiraman penting bagi membantu melarutkan nutrien di dalam tanah untuk diserap oleh akar pokok. Disamping itu juga air diperlukan oleh tumbuhan untuk kesegahan sel-sel dan juga untuk kesegaran tumbuhan. Siraman jangan dilakukan terlalu kuat sehingga merosakkan anak benih dan menghanyutkan tanah. Untuk tujuan itu kita perlu menggunakan penyiram yang mempunyai lubang siraman yang halus.

Merumput

Rumpai adalah semua jenis tumbuhan yang tidak dikehendaki. Merumput adalah untuk mengelakkan persaingan diantara rumpai dengan sayur-sayuran dalam mendapatkan nutrien, air, cahaya dan ruang. Merumput juga dapat memusnahkan tempat tinggal dan tempat pemb
perosak dan agen penyakit. Pengawalan rumpai hendaklah dilakukan semasa penyediaan tanah dan pada peringkat tumbesaran anak benih sayur-sayuran. Rumpai kecil boleh dicabut dengan tangan. Rumpai besar atau terlalu banyak boleh dicabut dengan menggunakan serampang tangan. Tajak boleh digunakan untuk membuang rumpai di lorong batas. Jika saiz ladang luas, rumpai boleh dikawal secara kimia.

Membaja

Sayur-sayur memerlukan makanan atau nutrien untuk tumbesaran yang sihat. Terdapat tiga jenis nutrien yang utama iaitu nitrogen, fosforus dan kalium (NPK). Kalsium, magnesium dan sulfur juga diperlukan oleh sayur-sayuran tetapi dalam kuantiti yang sedikit. Nutrien tanah yang telah berkurangan boleh ditambah dengan cara membaja. Baja yang boleh digunakan ialah baja organik dan baja kimia.

Membuat sokongan

Setiap jenis sayur-sayuran mempunyai tabiat tumbesaran yang berbeza. Ada yang menjalar, melilit atau mempunyai batang yang lemah. Sayur-sayuran yang memanjat seperti timun dan kacang panjang memerlukan kayu pancang, sementara sayur-sayuran yang berbatang lemah memerlukan sokongan untuk menyokong buahnya yang berat.

Tujuan utama memberi sokongan adalah supaya pokok boleh mendapat cahaya matahari yang secukupnya. Selain itu, ia juga akan memudahkan kerja pengurusan seperti merumput, membaja, memungut hasil dan mengelakkan buahnya daripada menjadi kotor kerana terkena tanah.

Mengawal Perosak dan penyakit

Haiwan perosak atau hidupan lain yang menyerang sayur-sayuran boleh menjejaskan mutu sayur-sayuran. Di samping itu ia juga boleh membantutkan tumbesarannya. Kebanyakan perosak sayuran adalah dari kumpulan serangga. Manakala penyakit pula biasanya di sebabkan oleh kulat dan bakteria. Oleh itu perosak atau agen penyakit ini perlu dikawal bagi mendapat hasil yang bermutu tinggi

Sayuran yang diserang penyakit selalunya kelihatan melecur ataupun kelihatan daunnya bertompok-tompok kehitaman. Tanda diserang perosak pula ialah daun yang berlubang atau tepinya telah di makan ulat. Perosak yang biasa menyerang sayur-sayuran ialah ulat beluncas, siput babi, kutu daun, kumbang, pianggang, koya, teritip dan bari-bari.

Penyakit-penyakit biasa sayur-sayuran

Penyakit yang biasa menyerang sayur-sayuran pula ialah melecur anak benih, bintik daun dan layu bakteria. Berikut adalah jadual yang menerangkan penyakit-penyakit yang biasa terdapat pada sayur-sayuran di Malaysia.

Penyakit-penyakit biasa sayur-sayuran

Penyakit

Agen

Simptom

Melecur anak benih

Kulat

Anak benih layu dan mati

Reput akar

Kulat atau bakteria

Pokok layu dan mati

Bintik daun

Kulat

Daun dengan bintik perang atau hitam

Layu bakteria

Bakteria

Urat daun menjadi hitam. Pokok akan layu dan mati

Kulapok

Bakteria

Daun yang diserang layu dan mati.

Karat batang/ daun atau lengai

Kulat

Tompok kuning/perang daun yang dijangkiti akan jatuh.

Memungut hasil

Hasil sayur-sayuran boleh dipungut mengikut kehendak pengguna. Oleh itu memungut hasil pada masa yang sesuai adalah penting. Sebagai contoh, jika sayuran jenis daun dipungut terlalu awal, hasilnya adalah rendah. Sebaliknya jika lewat dipungut, hasilnya banyak tetapi mutunya rendah kerana mengandungi serat kasar.

Masa memungut hasil

Masa yang sesuai untuk memungut sayur-sayuran adalah pada waktu pagi atau lewat petang. Ini bertujuan untuk mendapat hasil yang segar dan memuaskan.

Panduan Memungkut Hasil Sayuran

Sayur-sayuran

Tempoh mula memungut hasil

Panduan

Sawi

4 hingga 6 minggu

Cukup besar tetapi belum berbunga

Timun

4 hingga 6 minggu

Buahnya muda tetapi belum bertukar menjadi warna kekuning-kuningan

Kacang panjang

6 hingga 8 minggu

Lengai mudah di patahkan tetapi bijinya belum terbunjul keluar

Sengkuang

20 hingga 24 minggu

Daun mula menjadi kuning dan gugur.


Cara memungut yang betul ;
  • memotong dengan pisau / sekatur
  • contoh - bendi, kundur, peria, petola, timun, labu
  • mencabut
  • contoh - sayuran jenis daun, sayuran jenis akar atau umbisi.
  • memetik contoh - sayuran kekacang, cili, terung, tomato dan lain-lain.
  • menggali dengan cangkul/serampang
  • contoh - sayuran jenis akar / umbisi seperti keledek, keladi, sengkuang dan lain-lain.
Memasar

Sayuran yang dipungut mestilah dibasuh, digredkan, dan dibungkus dengan sempurna sebelum dipasarkan. Sayuran perlu dipasarkan seger


Perihal Keluarga

Saya merupakan anak pertama. Mempunyai 5 orang adik-beradik. Saya telah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata. Isteri merupakan seorang guru. Ibu dan bapa saya kedua-duanya berasal daripada Kelantan.

21 Mei 2008

Selamat Datang ke Blog saya

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
selamat datang ke blog Yuzamri Mohd Yusoff. Terlebih dahulu saya mengucapkan kesyukuran ke hadrat Illahi dengan terciptanya laman blog yang tak seberapa ini. Nama saya Yuzamri b. Mohd Yusoff. Berasal daripada Jerantut pahang dan membesar sebagai anak peneroka di Felda Keratong 7. Muadzam Shah, Pahang. Saya adalah bakal graduan Universiti Putra Malaysia yang kini sedang belajar di tahun akhir. Saya merupakan seorang guru dan telah melanjutkan pelajaran di dalam bidang Sains Pertanian. Di Universiti Putra malaysia, saya telah mendapat pendedahan dan latihan dalam pelbagai aspek di dalam pertanian.

Objektif utama blog ini dihasilkan adalah bertujuan untuk dijadikan sebagai hub bagi semua penduduk Malaysia yang berminat untuk mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan bidang pertanian. Antara bahan yang bakal dimuatkan pada masa kini ialah berkaitan tentang teknologi penanaman tanaman utama yang ditanam di Malaysia. Bahan-bahan bacaan yang dimuatkan juga bertujuan untuk dijadikan akses kepada pelajar-pelajar yang ingin meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai pertanian.

Selain itu, turut dimuatkan di dalam blog ini ialah sumber-sumber pengajaran yang boleh digunakan untuk guru-guru yang mengajar mata pelajaran Sains Pertanian dan Kemahiran Hidup. Adalah diharapkan agar semua guru yang ingin berkongsi maklumat dapat memanfaatkan blog ini untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan bertukar pendapat.

Maklumat yang dimuatkan di dalam blog ini di ambil daripada nota kuliah semasa menuntut di Universiti Putra Malaysia, Laman Web Persendirian, MARDI, Jabatan Pertanian dan sebagainya.

Bagi guru-guru, segala maklumat mengenai pengajaran Sains Pertanian dan Kemahiran Hidup adalah diambil dari nota-nota serta rujukan yang telah saya lakukan semasa menuntut di Universiti Putra Malaysia.

InsyaAllah, Blog ini akan cuba dinaik taraf dan dipelbagaikan artikel dari masa ke semasa.

Sekian,Terima Kasih.

yuss